Labels

Africa (3) Albania (3) Armenia (1) Asia (2) Balkan (10) Bosnia (3) Bulgaria (4) China (2) Croatia (2) Eropah (1) Georgia (1) Greece (2) History (2) Iberian (3) Itinerary (3) Jordan (4) Macedonia (1) Montenegro (2) Morocco (4) Random (2) Spain (4) Turkey (6) Visa (2)

Tuesday, 13 August 2013

Turki - Pamukkale

Assalamualaikum :)
Apa khabar Eid anda?
Taqabbalallah minna wa minkum >.<
***
Terletak di wilayah Denizli, Pamukkale merupakan antara tarikan utama di Turki. Pamukkale yang bermaksud "istana kapas" atau "cotton castle" ini mempunyai kolam-kolam air panas dan travertines.

Bersebelahan dengan Izmir, bandar ini senang dilawati daripada mana-mana bandar di sekitar Turki.  Merupakan bandar yang anda wajib pergi sekiranya anda sudah tiba di Turki. Jangan lepaskan peluang! 

Pertama, biar kami terangkan apa itu travertine, memandangkan travertine merupakan tarikan pelancong ke Pamukkale.  Travertine terhasil apabila air semula jadi terutamanya air dari kolam air panas meninggalkan depositions batuan kapur. Biasanya travertines mempunyai tekstur yang menarik hasil dari pergerakan air yang kemudiannya boleh menyebabkan terhasilnya stalagtit dan stalagmit. Apa yang menariknya di Pamukkale ini, travertinesnya bertingkat-tingkat.

Di kawasan yang lebih tinggi dan tidak jauh dari travertines ini, terdapat kota Hierapolis dari zaman Greek-Roman dan Byzantine. Berketinggian 160m, 600m lebar dan 2700m panjang, kota ini dapat dilihat dari gunung-gunung di Denizli yang jauhnya 20km!








1. Travertine
Memandang travertines ini merupakan tarikan utama pelancong ke Pamukkale, maka tidak sah lah jika anda tidak meluangkan masa sekurang-kurangnya merendam kaki di dalam takungan-takungan air mineral ini. Dipercayai bahawa air takungan ini mempunyai khasiat tersendiri. Pada waktu tengah hari, pabila matahari terpacak tinggi, travertine ini dipenuhi pelancong-pelancong dari negara-negara Barat terutamanya pada musim panas. Lewat petang pula pelancong semakin berkurangan, dan tidak sepanas tengah hari. Bergantung pada anda sendiri, waktu mana yang jadi pilihan.




2. Sacred Pool
Sengaja kami letakkan sacred pool ini bawah point yang ke-2 kerana tempat ini mudah untuk dijadikan sebagai landmark. Sekitar sacred pool ini, anda akan dapati bangunan seperti Hierapolis Museum dan travertines. Tidak jauh dari sini juga terletaknya Temple of Apollo.

Sacred pool ini merupakan kolam air tinggalan Roman yang telah dimajukan. Ianya terbuka untuk pengunjung yang ingin menikmati mandian air mineral semula jadi di kawasan yang lebih tertutup. Tiket masuk untuk 2 jam adalah lebih kurang 18 TL untuk dewasa dan 7TL bagi kanak-kanak yang berumur 6 hingga 12 tahun.

3. Hierapolis

Tinggalan Roman ini merangkumi banyak binaan termasuklah grand theater, necropolis, hammam, dan binaan-binaan yang lain. Jika anda bercadang untuk melawat keseluruhan Hierapolis ini, kami cadangkan agar anda tidak melawat Pamukkale secara 'touch n go'. Melawat Hierapolis ini akan memakan masa sekurang-kurangnya 1-2 jam, malah lebih lagi jika anda betul-betul berminat dengan seni bina Roman.

Anda pasti akan dapat melihat Roman theater di atas bukit kecil jika anda berdiri sekitar kawasan sacred pool; 10 minit dari sini, mendaki bukit kecil itu, ada akan tiba di Roman theater tersebut. Pada tahun 1972, binaan ini telah dibaikpulih oleh artisan dari Italy.

Necropolis, dahulunya merupakan kawasan perkuburan juga terletak tidak jauh dan di sebelah utara sacred pool.



4. Paragliding
Kami tidak mencuba sendiri aktiviti ini. Memandangkan aktiviti ini turut ditawarkan di Pamukkale dengan harga lebih kurang 50 Euro. Ejen-ejen yang menawarkan aktiviti ini boleh dijumpai sekitar kawasan Hotel Artemis Yoruk. Aktiviti paragliding ini tidak dijalankan setiap hari, bergantung pada cuaca pada hari tersebut.











  • Di sini banyak menjual batu-batu kristal yang berwarna-warni! Jika anda berminat, bolehlah beli :)
  • Seperti biasa ada dijual fridge magnet, postcards dan lain-lain


  • Anda tidak dibenarkan untuk memakai kasut di kawasan travertine bagi menjaga deposit-deposit batuan kapur. Ada sesetengah yang mungkin memandang hal ini remeh, namun perlu kita faham bahawa travertines ini merupakan binaan alam yang terpelihara dan dipercayai bakal musnah dalam sekurangnya sedekad lagi.
  • Pada waktu petang, cuaca agak berangin dan sejuk. Jika anda berhajat untuk berada di sini sehingga waktu petang, sebaiknya anda membawa sweater atau kot. Permadangan waktu senja di kawasan travertine ini indah, tidak rugi jika anda duduk sebentar. Buat penggemar fotografi, sekadar pesanan awal, tripod tidak dibenarkan.

^^
  • Anda boleh mengakses kawasan ini melalui dua pintu utama. Dari pintu selatan, anda perlu mendaki travertine, manakala dari pintu utara, anda akan menemui necropolis lebih dahulu. Dari pintu utara ini anda boleh menaiki kenderaan sendiri atau pengangkutan yang tersedia dengan caj sebanyak 2TL.
  • Stesen bas utama terletak di Denizli. Untuk sampai ke Pamukkale anda boleh menaiki dolmush (bas mini) atau bas yang disediakan oleh syarikat-syarikat bas besar. Biasanya dari Pamukkale ke Denizli, syarikat bas seperti Metro Bus Company, Pemukkale Bus Company, menyediakan perkhidmatan bas secara percuma jika anda menggunakan perkhidmatan mereka ke mana-mana destinasi seterusnya atau sebelumnya.
  • Besar kemungkinan untuk anda bertemu agent-agent yang agak menjengkelkan. Terpulang pada bagaimana hendak melayan mereka, jangan sehingga duit anda digunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya hanya kerana rasa terpaksa! Khidmat mereka sangat berguna jika anda tahu dan mahu apa yang ditawarkan. 
  • Jangan lupa untuk tawar-menawar pada semua barangan termasuk hotel! (tambang dengan tiket masuk tu janganlah)
  • Kami cadangkan pakai stokin naik travertines sebab batu dia tajam-tajam sikit.



Peta Hierapolis





  • tiket masuk travertines & Hierapolis = 20TL
  • range harga hotel = 20-25TL (per person)
  • dolmush Denizli-Pamukkale = 3TL

____________________________

Selamatlah... :)

Thursday, 18 July 2013

Turki - Konya


Assalamualaikum :)
Lama tidak ketemu ya sahabat-sahabat?
Lebih sebulan meninggalkan laman ini kerana bermusafir mengutip pengalaman di tanah orang. haha
Selamat menyambut bulan Ramadhan!
Ramadhan Kareem :)





Konya - bandar yang tidak asing lagi di bumi Turki. Bandar ini pernah menjadi pusat pemerintahan bagi kerajaan Selcuk pada suatu masa dahulu. Konya pernah dikuasai oleh banyak kuasa, dimulai dengan kuasa Hittite, Lycian, Persian, Alexander the Great, Bergama Kingdom, Roman, Umayyah dan Byzantine.

Konya banyak berkait dengan penulis Parsi, Jalaluddin Rumi yang dilahirkan di Balkh (sekarang Afghanistan). Sewaktu pemerintahan Seljuk, Konya dipenuhi dengan pelarian-pelarian dari Empayar Khwarezmid yang melarikan diri dari Mongol. Pada tahun 1228, Sultan Kayqubad I yang merupakan pemerintah pada waktu itu telah menjemput Rumi dan bapanya, Bahaeddin Veled. Beliau berhijrah ke sini dan menetap selama 50 tahun, sehingga beliau meninggal dunia. Beliau telah mengasaskan tarikat Mevlevi.

Konya telah berkembang dengan pesatnya sejak akhir-akhir ini, terutamanya dengan kemasukan ramai pelajar Universiti Selcuk. Namun, bandar ini masih dikira sebagai bandar yang paling konservatif di Turki dan anda akan mendapati, ramai perempuan menutup rambut. Berdasarkan pemerhatian kami, orang-orangnya juga peramah dan lebih tenang jika dibandingkan dengan Istanbul.








1.  Melawat Mevlana Museum dan kawasan sekitarnya


Ini merupakan tarikan utama pengunjung ke Konya. Anda boleh nampak ramai rakyat Turki sendiri yang melawat bandar ini. Ramai antara mereka yang memohon doa (tawasul) di kubur Rumi dan Maulana-maulana yang lain. Namun begitu, hanya kerana ramai yang melakukannya, itu tak bermakna ia adalah kebenaran. Kami sarankan anda membaca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawasul dan hukum bertawasul. Moga Allah memberi hidayah buat kita dan mereka :)

Cuba untuk datang awal kerana agak panjang barisan untuk beratur membeli tiket. Bila datang waktu musim bunga, taman di sekitar kawasan ini dihiasi dengan bunga ros yang kembang mekar. Bila masuk ke muzium, anda boleh melihat banyak makam atau kubur maulana-maulana di sini. Salah satunya adalah makam milik Jalaluddin Rumi, anak-anak beliau, anak-anak murid beliau dan ramai lagi. Ada juga ditayangkan baju-baju yang digunakan Rumi, al-Quran yang ditulis pada masa dahulu, buku-buku asal yang ditulis oleh Rumi dan Tabrizi. Di bahagian koleksi-koleksi ini terutamanya, barisannya sangat panjang. Jika anda terlalu lama di satu-satu bahagian, boleh menyebabkan orang-orang lain tidak begitu selesa. Bagaimana ahli sufi dididik di sini turut di ceritakan, malah replika dapur yang digunakan oleh mereka juga terdapat di sini, dan macam-macam lagi. 

Jika anda dari stesen bas, anda boleh ke muzium ini menaik tram. Dari stesen bas, anda akan nampak direction ke tramway. Tiket boleh dibeli di kaunter sebelah tramway. Stesen yang pelru dituju adalah Stesen Aladin, yang merupakan stesen terakhir dan paling dekat dengan muzium. Turun sahaja di stesen Aladin, jalan terus ke arah timur, lebih kurang 500m anda akan menjumpai sebuah dataran yang terletaknya sebuah masjid, Masjid Selemiye. Anda akan dapat melihat Muzium Mevlana bersebelahan dengan masjid tersebut.

Anda juga boleh menaiki dolmus untuk ke pusat bandar.

Mevlana Museum


Di kawasan luar museum

2.  Menikmati minuman percuma!

Kami pun mula-mula tak percaya. Mulanya jenguk jenguk sahaja dari luar, akhirnya masuk juga dan sememangnya betul! Dapat air percuma malah teh pun percuma! Anda boleh duduk sebentar sambil rehatkan kami, baca peta dan sebagainya. Boleh juga mengecas kembali bater handphone, tab, ipad, iphone, kamera dan sebagainya.

Bagaimana hendak ke sini? Di depan muzium, anda kan menjumpai dua bulatan. Anda cari bulatan yang di sebelah kanannya kubur, dan di sebelah kirinya Muzium Mevlana. Ambil jalan tersebut dan terus je. Nanti anda boleh nampak bangunan ini di sebelah kiri. Jika anda terus lagi, anda akan jumpa Tourist Information Centre (TIC). Bolehlah minta peta dan tanya apa yang menarik untuk dilawat di Konya!

Sewaktu kami melawat ke Konya pada bulan Jun lepas, TIC terletak tidak jauh dari bagunan ini. (*Jika anda menggunakan guide book yang agak lama, anda akan mendapati TIC terletak agak jauh dari tapak TIC sekarang). Anda hanya perlu berjalan terus lagi dan Tourist Information Centre terletak betul-betul tepi jalan. 

Free!

TIC

3.  Menyaksikan Tarian Sema (tarian sufi) secara percuma!

Untuk mendapatkan yang percuma, anda perlu berada di Konya pada hari Sabtu! Kalau hari lain ianya berbayar dan kalau di Istanbul anda perlu bayar lebih kurang 40TL. Tarian bermula lebih kurang 2030 (lebih baik datang awal untuk dapat tempat duduk yang strategik). Kami tak pasti berapa lama tarian ini sebab dah kena cabut pukul 10 sebab nak kejar bas pukul 11 malam. 

Tarian ini berlangsung di Pusat Kebudayaan Mevlana. Anda boleh tanya dekat TIC untuk direction ke sana. Anda boleh berjalan kaki. Untuk kembali ke stesen bas, anda perlu kembali di depan Muzium Mevlana untuk mengambil dolmus yang ada tulis "Yeni Otogar Campus".

Bagi kami, ini sekadar tarian. Tidaklah tarian seperti ini dapat dikaitkan dan disandarkan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh rasullah s.a.w. dan para sahabat serta tabiin dan itba' tabiin. Apa yang kami baca, tarian ini ada mempercayai konsep "penyatuan dengan Allah" dan sememangnya bertentangan dengan Aqidah ahlus Sunnah wal Jamaah. Moga Allah membuka hati kita dan mereka untuk melihat hidayah dan petunjuk yang dibawa Rasulullah s.a.w. dengan jalan yang lurus dan benar :)

Mevlana Kultur Merkezi.

Sema Dance
4.  Melawat Aziziye Camii

Apa yang menarik dengan masjid ini? Tingkap masjid lebih besar daripada pintu masjid! Tapi sayangnya, sewaktu kami datang masjid ini dalam proses pembaikpulih. Di menara masjid ini, konsep oriental dapat dilihat dengan jelas.

Aziziye Camii

5. Melawat Alaaddin Camii dan Alaaddin Tepesi

Setibanya anda di stesen tram terakhir, stesen Alaaddin, anda boleh nampak bukit di sebelahnya (Alaaddin tepesi). Bukit ini merupakan bukit buatan manusia dan kini merupakan taman untuk berehat-rehat. Waktu petang adalah waktu yang paling ideal untuk melepak tenangkan fikiran sambil baca buku, makan coklat dan macam-macam lagi. Terdapat banyak restoran sekitar Alaaddin Tepesi yang menjual hidangan-hidangan tempatan dan makanan segera. Kalau jalan ke atas sedikit ke arah utara, anda boleh melawat Alaaddin Camii. Masjid ini dibina pada zaman Kesultanan Selcuk di sekitar kurun ke-13. Dari atas ini juga, anda boleh melihat pemandangan bandar Konya.
Aladdin Camii
6.  Melawat ke Masjid Shamsi At-Tabrizi

Masjid ini terletak berhampiran dengan Alaaddin Tepesi. Diberi nama sempena Shamsi al-Din al-Tabrizi, kenalan kepada Rumi, ada yang berkata beliau merupakan guru ghaib Rumi. Beliau berjumpa Rumi di Konya (ada yang cakap di Syria) dan menjadi "spiritual friend" kepada Rumi. Bagi Rumi, Shamsi merupakan "matahari" yang menunjuk jalan ke arah penyatuan dengan Tuhan. Rumi kemudiannya berhenti mengajar di medrasa untuk mengahbiskan lebih banyak masa dengan Shamsi. Pengikut-pengikut Rumi berasa goyah dengan kelebihan yang dimiliki Shamsi melebihi guru mereka, jadi, mereka membunuh Shamsi untuk menjadikan Rumi sahaja yang terbaik. Disebabkan sedih dan hiba di atas pemergian sahabat baiknya, Rumi mengadbikan diri pada doa dan tafakkur dan akhirnya menghasilkan asas tarian Sema.

Di masjid ini juga terdapat makam Shamsi, tetapi masih ada pertikaian sama ada itu milik Shamsi atau tidak.

Masjid Shams At-Tabrizi


6. Lawatan ke Ethnography Museum of Konya

Untuk ke muzium ini, anda kena dapatkan map dari TIC dulu. Kami tidak dikenakan sebarang bayaran untuk masuk ke sini. Seperti Ethnography Museum yang lain, muzium ini menayangkan koleksi pakaian, perkakas rumah, cara hidup, peralatan perang, peralatan menulis dan sebagainya. :) 









  • Banyak kedai di tepi jalan yang menjual fridge magnet menarik
  • Di sekitar Muzium Mevlana dan TIC juga ada banyak kedai menarik yang menjual cenderahati yang beraneka pilihan.
  • Buku-buku Tabrizi, Rumi dan Bahaeddin juga banyak dijual sekitar TIC. Kebanyakannya dalam Bahasa Turki.



  • Tandas di stesen bas free! So, settle siap2 sebelum berjalan
  • Di stesen bas juga terdapat tempat simpanan bag automatik.
  • Dolmus murah sikit dari tram
  • Cuba makanan namanya "Mevlana"
Mevlana

  • Untuk dapatkan makanan yang murah, anda perlu berjalan jalan jauh sikit dari Muzium Mevlana. Berdekatan Mevlana Camii dan Aziziye Camii juga banyak dijual makanan yang murah-murah.





  • Tiket Muzium Mevlana - 5TL
  • Tiket tram - 2TL
  • Dolmus - 1.75TL
  • Makanan Mevlana - 8TL




___________________

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekali2 kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabinya. (Muwattho’ Malik)






Selamatlah! :)